CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

21 September 2010

Meneruskan Misi Pewaris Bahtera Dakwah



Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana terus diberi kekuatan dan dipanjangkan langkah untuk terus mengabdi diri kepadaNya dengan amalan Puasa di bulan Ramadhan seterusnya merayakan Eid di bulan Syawal al-Mubarak. Didoakan kita meneruskan amalan yang kita laksanakan di bulan Ramadhan lalu agar bulan-bulan yang mendatang menjadikan kita hamba Allah yang Rabbani amalannya bukan sekadar Ramadani.Kita juga berharap agar dengan kehadiran Syawal dapat mengembalikan kita kepada fitrah pengibadatan kita kepada Allah Rabbul Jalil.

Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Teringat kepada kata-kata Almarhum Dato` Ustaz Dahlan b Mohd Zain iaitu : “Pewaris serba lengkap ialah pewaris yang lengkap mengikuti proses tarbiyyah juga lengkap dari segi persediaan hati, thaqafah, tanzim, jihad, haraki (organisasi) dan syaksiyyah Islamiyyah. Ringkasnya, lengkap dalam kemampuan roh, aqli dan jasmani. Pewaris seperti ini, Insya Allah mampu mewarisi dan meneruskan Islam yang suci murni.
Begitulah hebatnya kerja mengajak manusia lain merasai kemanisan dan kehebatan Islam. Mewarisi kerja yang agung yang pernah dirintis oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan suatu pewarisan yang hebat dan agung di sisi Allah. Bukan semua manusia sanggup memikul beban dan amanah yang berat ini di pundak bahu mereka. Bahkan ada yang tersadung lalu tersungkur di pertengahan jalan. Berbahagialah mereka yang bersama Islam ketika gharibnya Islam.

Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,
Sebagai mereka yang mewarisi gerak kerja bahtera dakwah ini, kita memerlukan bekalan untuk tiba ke destinasi akhirat dengan selamat. Bahtera perlu dikemudi dengan kemas, para penumpang bahtera juga harus diisi dengan bekalan agar mereka juga merasai kemanisan menaiki bahtera dan tiba ke destinasi dengan selamat. Para Pewaris memerlukan beberapa bekalan yang dapat membantu mengemudi bahtera dakwah ini dengan baik :

1. Iman yang teguh dan Taqwa kepada Allah SWT.
Inilah merupakan 2 makanan istimewa sepanjang perjalanan bahtera ini ke perkampungan akhirat. Iman dan Taqwa ini akan melahirkan para pewaris yang mempunyai ketinggian azam dan cita-cita, melahirkan jiwa-jiwa yang ikhlas, tahan lasak dan sanggup mengorbankan diri, masa dan wang ringgit untuk mengemudi bahtera.

2. Kekuatan Ukhuwwah Islamiyyah.
Pewaris dakwah di jalan Allah terdedah kepada sifat-sifat malas, lesu dan jemu serta berbagai-bagai penyakit hati. Jika dibiarkan penyakit ini berterusan menguasai diri nescaya akan membawa kerenggangan, kelekaan dan terus hanyut sengan dunianya. Sikap para dai’e yang saling menasihati, wasiat mewasiati inilah yang menghindarkan saudaranya leka dan lupa.

3. Membaca, mempelajari dan memahami Al-Quran.
Membacanya adalah ibadah. Al Quran mengajar kita taat pada Allah, membimbing hati kita, perasaan kita dan tingkah laku kita, menceritakan kisah pejuang terdahulu, kecekalannya, ketabahannya, kesungguhannya dan keyakinannya yang boleh dijadikan bekalan disepanjang perjalanan dai’e. Al-Quran juga menjelaskan kehidupan selepas mati, penghisaban, perhitungan dan pembalasan. Semua ini melindungi dai’e dari penyelewengan. Baca, fahami dan amalkanlah.

4. Menghidupkan malam dengan Qiamullail
Sesungguhnya keseronokan, kelazatan dan kebahagian qiyamullail tidak dapat digambarkan. Munajat kepada Allah pula dapat menghilangkan segala keletihan. Begitulah kita dapat melihat Rasulullah SAW bertahajud sehingga bengkak-bengkak kaki sedikit pun tidak merasa susah dan penat kerana baginda telah karam di lautan cinta pada Allah SWT. Bnagunlah di tengah malam seperti bangunnya seorang fakir yang hina yang menyeludup di tengah malam untuk mengetuk pintu tuannya yang pemurah. Dengan berdiri lesu, hina dan merasa bersalah dia mengakui rasa bersalah, dosa dan sangat berhajat kepada keampunan tuannya.

5. Memahami tabiat dakwah
Jalan dakwah adalah jalan yang dilalui oleh para anbiya terdahulu, penuh ranjau, rintangan dan halangan. Rasulullah SAW sendiri dihiburkan dengan kisah-kisah nabi terdahulu agar keperitan mereka dapat merawat dan menguatkan semangat baginda. Kisah nabi Nuh a.s contohnya dapat dilihat dari sudut lamanya dakwah baginda, tentangan musuh-musuhnya dan kesabaran baginda menghadapi kaumnya tanpa putus asa. Begitu juga bekalan yang diambil dari Nabi Nuh menunjukkan betapa hampirnya baginda dengan Allah SWT. Semua nabi meghadapi tribulasi. Oleh itu para pewaris hendaklah mempersiapkan diri anda unruk menghadapi situasi ini, agar kesusahan atau rintangan yang anda hadapi tidak membantutkan kerja mulia anda.

Penutup
Merasai bahawa kerja sebagai pewaris ini merupakan suatu keperluan buat pemuda walaupun kesusahan yang dihadapi sepanjang jalan ini. Memetik kata-kata Almarhu Ustaz Dahlan b Mohd Zain: “"Kita akan berasa sempit apabila memikirkan kitalah yang memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini hanyalah satu mata daripada mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang akan menyambung perjuangan kita.Orang itu tidak lain tidak bukan ialah GENERASI PEMUDA" .Tuntutlah Uluwwul Himmah. Uluwwul Himmah beliau adalah dakwah. Selamat berbahagia di sana wahai Murabbi Ummah.

Andalah pewaris bahtera ini. Takziah buat keluarga Almarhum Dato` Kaya Bakti Ustaz Dahlan b Mohd Zain dari pihak kepimpinan HALUANSISWA. Al-Fatihah.
Eid Mubarak. Minal `Aidin wal Faizin.








Yang Mengharap Redha RabbNya.
Muhammad Muzakkir b Che Ani
Johor Bharu
21 September 2010
12 Syawal 1431H

[+/-] Selengkapnya...

20 September 2010

Selamat Berbahagia di sana Wahai Murabbiku


Takziah buat keluarga Almarhum Al-Ustaz Dahlan b Mohd Zain atas pemergian bapa mereka yang telah menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu, 18 September 2010. Allahyarham merupakan seorang murabbi, qaid, mursyid, bapa dan guru dekad ini yang telah banyak berbakti kepada pembentukan rijal-rijal dakwah dan pembangunan ummah islamiah di Malaysia. Semoga roh Allahyarham ditempat bersama para solihin da muqarrabin. Amin ya Rabbal A'lamin.

http://www.youtube.com/watch?v=LkX11j46Abc&feature=player_embedded#!

[+/-] Selengkapnya...

14 Ogos 2010

Ahlan Ya Ramadhan!! Ramadhan Kareem!!



1. Ramadhan bulan Al-Quran.

Allah swt berfirman yang bermaksud :
"Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)...ila akhir ayah". (Surah Al-Baqarah, ayat 185)


2. Dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta para syaitan diikat.

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadith:
"Jika telah datang awal malam bulan Ramadhan, diikatlah syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu-pintu yang dibuka, dan dibukakan pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu pun yang tertutup. Berseru seorang penyeru :
"Wahai orang yang menginginkan kebaikan, lakukanlah, wahai orang yang menginginkan kejahatan, kurangkanlah ia. Dan setiap malam, ada sahaja orang yang dibebaskan dari api neraka."
(Riwayat at-Tirmizi, no. 682, dan Ibn Khuzaimah, 3/188)

3. Lailah al-Qadr.

Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul Qadr (malam kemuliaan), dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?, Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat turun dan malaikat Jibril dengan izin tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraannya sampai terbit fajar." (Surah Al-Qadr, ayat 1-5)

4. Puasa merupakan perisai kepada manusia.

Rasulullah saw bersabda :
"Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya daripada api neraka."
(Riwayat Ahmad, 3/241, 296 dan 4/22)

5. Mendapat pahala yang tidak terbatas.

Rasulullah saw bersabda :
"Allah swt berfirman: "semua amalan Bani Adam untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan aku akan membalasnya, puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa, janganlah berkata kejidan berteriak-teriak. Jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah "Aku sedang berpuasa", demi zat yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk, orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan, jika berbuka mereka gembira, jika bertemu Rabbnya, mereka gembira kerana puasa yang dilakukannya. "
(Riwayat al-Bukhari, 4/88, dan Muslim, no. 1151)

6. Puasa akan memberi syafaat kepada ahlinya di akhirat kelak.

Rasulullah saw bersabda :
"Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafa'at kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata: "Wahai Rabbku, aku telah menghalanginya dari makan dan syahwat, maka berilah dia syafa'at keranaku..."
(Riwayat Ahmad, no. 6626, al-hakim, 1/554, dan Abu Nu'aim, 8/161)

7. Dibuka pintu ar-Rayyan bagi orang yang berpuasa.

Dari Sahl B. Sa'ad r.a, dari Nabi saw bersabda :
"Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk di hari kiamat nanti dari pintu tersebut, tidak ada selain mereka yang memasukinya. Dikatakan: "Manakah orang-orang yang berpuasa?", tidak ada selain mereka yang memasukinya, maka jika telah masuk orang yang terakhir yang berpuasa, ditutuplah pintu tersebut."
(Riwayat al-Bukhari, 2/671, dan Muslim, no. 1152)

[+/-] Selengkapnya...

15 Jun 2010

Selangkah ke Bulan Ramadhan : Semarakkan Langkah Pemuda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat semua ahli HALUANSiswa yang dikasihi Allah.

Alhamdulillah kita memanjatkan syukur pada Allah kerana masih diberi kekuatan untuk terus bekerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Baru-baru ini kita disibukkan dengan pelbagai program ummah melibatkan program Palestin terutamanya yang memerlukan garapan tenaga muda daripada sekalian ahli Haluansiswa. Ramai di kalangan ahli bersiap siaga turun ke medan untuk memperkuatkan perjuangan Haluan Malaysia membela nasib warga Palestin yang tertindas.Ingatlah wahai ahli Haluansiswa hakikat perjuangan ini tidak akan tercapai tanpa usaha bersama semua warga Haluansiswa di segenap pelusuk negara.

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.'

Sebagai seorang ahli Haluansiswa yang sentiasa bekerja mengorbankan harta, wang ringgit dan masa, kita akan mempunyai masa terhad dalam usia yang mampu memberi sesuatu. Kemudian ia mula surut kebelakang (susut). Firman Allah swt: " Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan diantara manusia."
Dan benarlah sabda Rasulullah: "Kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasala‘Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesh dia.

Maka di sini kita memahami bahawa tuntutan zaman pemuda adalah bagaimana suasana hari ini amat memerlukan tenaga para pemuda untuk menggerakkan setiap inci daripada tiang-tiang Islam. Setiap tiang ini memerlukan penjaga yang berkeupayaan untuk menggenggam erat agar tiang-tiang tersebut berdiri utuh bertunjangkan aqidah yang benar kepada Allah swt.Jiwa pemuda yang mudah tersentuh dan bersemangat membuatkan zaman kegemilangan Islam menjadi sejarah yang agung dengan kehebatan pemuda seperti Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali b Abi Talib dan beberapa orang sahabat Nabi lagi.

SIFAT AHLI HALUANSISWA

Justeru sebagai seorang Pemuda Islam yang bersedia menggalas amanah dan bebanan ini, kita mengharapkan agar ahli-ahli Haluansiswa menerapkan sifat-sifat dan ciri-ciri berikut di dalam diri mereka :

1. Ahli Haluansiswa mestilah siap sedia untuk disusun atur di mana ahli Haluansiswa hendaklah menyediakan jiwa, akal dan fizikal untuk menerima dan menurut arahan daripada pimpinan daerah, negeri mahupun Pusat agar setiap program yang dijalankan bertepatan dengan Visi Haluansiswa "Bersahsiah, Dekat dan Bererti"

2. Ahli Haluansiswa juga perlu bersifat produktif atau sentiasa memberi. Sifat ini amat-amat diperlukan di dalam Haluansiswa kerana di dalam realiti hari ini berlaku keperluan mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Haluansiswa dan bukannya Haluansiswa memikul mereka.

3. Ahli Haluansiswa mesti bersifat sentiasa berubah samada berubah dari segi pemantapan pengislahan diri, sanggup berkorban jiwa, wang ringgit dan masa untuk menjayakan kelangsungan pendidikan di dalam Kelab Haluansiswa.


Justeru di dalam kita melangkah ke alam Universiti Ramadhan yang akan dibuka nanti, perlulah kita melalui proses pendidikan di alam Rejab di mana saya menyeru marilah sama-sama kita merenung beberapa peristiwa yang berlaku di sepanjang bulan Rejab ini :

Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua :
Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.



TINGKATKAN AMAL DI BULAN REJAB SEBELUM SAMPAI RAMADHAN.

Saya menyeru kepada semua ahli Haluansiswa untuk kita memulakan pendidikan diri kita bermula dari sekarang agar proses pendidikan yang akan dilalui di bulan Ramadhan Al-Mubarak akan menjadi satu kelazatan dan kenikmatan buat diri kita. Marilah kita sama-sama :

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakkan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;

Maksudnya ;

Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya. "

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;

Maksudnya :

" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."



Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)

Akhir kata, Almarhum Syeikh Fathi Yakan berpesan bahawa peranan pemuda Islam hari ini ialah suatu peranan dan tanggungjawab yang berat, jalannya penuh dengan onak. Tanggungjawab mendirikan Islam dalam realiti kehidupan manusia hari ini memerlukan kepada generasi Al-Quran yang baru mengikut generasi Al-Quran pertama. Pada hari itu barulah orang-orang mukmin akan bergembira dengan pertolongan Allah.

HALUANSISWA

[+/-] Selengkapnya...

10 Jun 2010

Khutbah Lifeline 4 Gaza


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .

Di hari Jumaat yang mulia ini marilah mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT, dengan muhasabah diri dan menghisab diri sendiri apakah kita telah memenuhi tuntutan untuk bertaqwa kepada Allah. Sikap berhati-hati di dalam hidup dan menjaga batas-batas halal dan haram apa yang disuruh dan apa yang ditegah oleh Allah menjadikan kehidupannya sejahtera di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah hari ini Misi Lifeline 4 Gaza untuk menerobos tembok kematian (pasca-serangan tentera Yahudi paa 31 Mei).

Pada 24.5.2010 yang lalu ratusan manusia dari puluhan negara telah menggabungkan usaha mereka di dalam satu inisiatif untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan objektif untuk menerobos Tembok Kematian ’Jidarul Maut’ yang dibina mengelilingi sempadan Gaza oleh Rejim Zionis sejak empat tahun yang lalu.

Kita teringat satu peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya di Mekah yang mirip dengan apa yang berlaku kini di Gaza. Sekiranya kita membandingkan peristiwa sekatan dan kepungan Israel ke atas Gaza dengan peristiwa sekatan ekonomi ke atas Rasulullah SAW dan Bani Hashim, maka kita akan dapati sejarah telah berulang. Oleh kerana sejarah adalah satu ’sunnah’ iaitu peristiwa yang berlaku atas hukum sebab dan musababnya, maka kesudahan kepada kepungan di atas Gaza ini juga boleh dijangka.


”Dan kamu tidak akan dapati perubahan pada sunnah Allah’. ”Berjalanlah kamu di atas muka bumi dan saksikanlah apakah kesudahannya orang-orang yang melampaui batas. Demikianlah kami ceritakan kepada manusia, menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu kamu jangan merasa rendah dan merasa sedih kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya sekiranya kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Imran 137 – 139).

Ketika pemuka-pemuka Quraish menghadapi jalan buntu kerana tidak satupun helah dan makar yang mereka rencanakan untuk menghentikan dakwah Rasulullah SAW, timbul lah perancangan untuk mengenakan tekanan kepada Rasulullah SAW dan komuniti mukminin yang minoriti dengan menggunakan senjata ekonomi. Fitnah, serangan peribadi, tuduhan liar, adu domba malah penyeksaan fizikal tidak sedikitpun melemahkan jiwa umat Islam. Mereka semakin yakin dan teguh mempertahankan iman mereka. Begitu juga dalam konteks Zionis Israel pada hari ini yang menggunakan pelbagai strategi termasuklah dasar pecah dan perentah, melaga-lagakan kumpulan penentang dari kalangan rakyat Palestin, menggunakan pengaruhnya ke atas Amerika Syarikat, tekanan PBB dan masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Palestin bahkan membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam seperti Syeikh Ahmad Yassin as-Syahid dan Dr Abdul Aziz Rantisi as-Syahid tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Saf perjuangan rakyat Palestin semakin mantap dan sokongan kepada gerakan Islam semakin padu. Apabila pilihanraya umum diadakan di Palestin buat pertama kalinya untuk memilih ahli-ahli (parlimen) mereka memberikan kemenangan selesa kepada kelompok pejuang Islam yang tidak akan bertolak ansur sedikitpun dalam soal kedudukan Masjid al-Aqsa, kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air dan kampung halaman serta negara Palestin yang dirampas secara tidak sah oleh pendatang Yahudi. Maka kita dapati regim Zionis Israel telah menggunakan pendekatan yang serupa dengan orang-orang Quraish untuk melemahkan umat Islam.

Umat Islam pimpinan Rasulullah SAW semakin kuat dari sehari kesehari. Tekanan yang dikenakan tidak berbekas, sebaliknya umat Islam semakin kuat dengan masuk Islamnya Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar al-Khattab. Sebahagian umat Islam yang berhijrah ke Habsyah pula mendapat perlindungan dan simpati dari Raja Najasyi. Ini menyebabkan pemimpin Quraish telah sepakat untuk melaksanakan boikot total ke atas Rasulullah SAW dan keluarganya dari Banu Hashim dan seluruh komuniti muslim. Pengistiharan ini telah ditulis oleh Mansur bin Akromah dan diluluskan oleh Dewan Agung Quraish. Mulai saat itu tidak ada siapapun di kalangan penduduk Mekah yang dibenarkan untuk berurus niaga dan berkahwin dengan Banu Hasyim. Juga musuh-musuh Rasulullah SAW dan umat Islam akan disokong oleh orang-orang Quraish tanpa kecuali. Kita melihat persamaan ini pada tindak balas Israel ketika mereka terpukul dengan kemenangan gerakan Islam HAMAS dalam pilihanraya umum di Palestin meskipun telah membunuh pemimpin-pemimpin umat Islam dan memenjarakan puluhan ribu rakyat Palestin. Dengan memperkuda kuasa dunia, Israel mendesak Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB melalui inisiatif yang dinamakan ’Quartet Timur Tengah’ bagi mengenakan tekanan ke atas Palestin supaya mengiktiraf Israel, menghentikan penentangan dan bersedia untuk berdamai dengan pihak musuh yang telah merampas hak dan tanah air mereka. Jawapan daripada rakyat Palestin sudah dijangka iaitu menolak semua tuntutan yang menghinakan itu. Maka sama seperti tindakan Quraish, rejim Zionis Israel mengenakan sekatan ekonomi yang komprehensif dan menutup semua laluan dan pintu masuk ke Gaza pada tahun 2007. Sebagaimana Shi’ib Abi Talib pada zaman Rasulullah menjadi penjara begitu jugalah Tebing Gaza yang luasnya hanya sekitar 400 km persegi bertukar menjadi penjara yang dipagari tembok konkrit sepanjang 850 km dan tinggi antara 8 hingga 12 meter. Tebing Gaza kini merupakan penjara terbuka terbesar di dunia yang memuatkan lebih 1.5 juta rakyat Palestin.

Penderitaan rakyat Gaza tidak mungkin tergambar dengan kata-kata. Bekalan makanan terpaksa dicatu dan bekalan ubat-ubatan terputus sama sekali. Hampir 80% dari kanak-kanak Gaza mengalami kekurangan zat makanan, 80% rakyat berada di bawah tahap kemiskinan. Kita dimaklumkan, dalam keadaan terputus bekalan makanan sehingga ada keluarga yang mengutip rumput dijalanan dan direbus untuk meredakan tangisan anak-anak yang pedih perut kerana kelaparan. Dalam keadaan terkepung dan tidak mendapat perlindungan mereka diserang pula secara bertalu-talu dengan sangat kejam pada awal tahun 2009 sehingga sekitar 1,500 orang rakyat awam terbunuh dan ribuan mengalami kecederaan. Rumah-rumah, masjid, pejabat kerajaan, hospital, sekolah, universiti, kilang bahkan sekolah dan gudang milik PBB menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Walaupun sudah setahun lebih serangan biadap tersebut berlaku namun sehingga kini mereka tidak berdaya untuk membaik pulih dan membina semula bangunan yang runtuh kerana bahan binaan disekat dan tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh Rejim Zionis.

Senario ini menyamai apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW di Shi’ib Abi Talib. Oleh kerana terputus bekalan makanan maka umat Islam hanya memakan sebiji kurma atau separuh biji kurma sehari. Adakalanya mereka tidak punya sebarang makanan untuk mengalas perut yang kelaparan. Seperti yang diceritakan oleh Saad bin Abi Waqash. ”Pada satu hari aku keluar ke lembah dan aku terjumpa kulit unta yang telah kering. Lalu aku bakar dan racik, selepas itu aku rendam dalam air dan itulah makanan aku untuk selama tiga hari.”

Tangisan kanak-kanak yang kelaparan di malam hari telah menimbulkan simpati yang mendalam di kalangan orang-orang Quraish yang masih lembut hatinya. Di kalangan mereka seperti Hakim bin Hizam, Abul Ash bin Rabi’ dan Hisyam bin Umar. Mereka seringkali memunggah unta mereka dengan bekalan makanan dan membawa unta-unta tersebut ke lembah Shi’ib Abi Talib dengan harapan bekalan tersebut sampai ke tangan umat Islam. Namun kawalan ketat yang dibuat oleh peronda Quraish seringkali menggagalkan usaha ini. Sering juga mereka bertembung dengan Abu Jahal sehingga mencetuskan perbalahan di antara mereka. Semakin lama simpati di kalangan orang-orang Quraish semakin mendalam dan akhirnya menjadi gelombang protes yang tidak dapat dibendung oleh orang-orang yang berkeras untuk meneruskan boikot. Mereka bertanya sesama sendiri ”wajarkah tuan makan makanan yang terbaik sementara kerabat tuan dalam kebuluran dan tidak berpakaian.” Sebahagian yang lain pula berkata ’Jika saya bersendirian maka saya tidak berupaya untuk menghadapi Quraish, tetapi jika orang yang bergabung dengan saya maka saya tidak teragak-agak untuk mengoyak penjanjian sekatan di kaabah.”. Bergabunglah beberapa orang Quraish di antara mereka Hisyam bin Umayr, Zuhair bin Abi Umayah, Mut’am bin Adi, Abul Bakhtari dan Zam’ah. Mereka berlima mengistiharkan pembatalan perjanjian sekatan dengan sokongan ramai orang-orang Quraish yang lain sehingga tidak dapat dibantah oleh Abu Jahal. Mereka berhasrat untuk mengoyakkan surat perjanjian tersebut tetapi mendapatinya telahpun dimakan anai-anai kecuali pada ayat yang tertulis ’Dengan Nama Allah”.

Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sejak sekian lama mula mendapat simpati masyarakat antarabangsa. Manusia mempunyai hati dan perasaan mereka merasai apa yang dirasai oleh orang-orang Quraish ketika Rasulullah SAW dan umat Islam dikepung di Shi’ib Abi Talib. Pada 24 Mei 2010 hampir 700 orang berkampung di Antalya, Turki untuk menaiki kapal yang akan membawa mereka masuk menerobos tembok kematian Gaza. Mereka mewakili lebih 50 negara samada muslim atau bukan muslim satu tujuan iaitu untuk menerobos sekatan kejam yang dikenakan oleh Rejim Zionist ke atas seluruh rakyat Gaza. Sebagaimana Hakim bin Hizam, mereka membawa ubat-ubatan, alat-alat tulis dan persekolahan, alat-alat sukan dan permainan, generator elektrik, peralatan perubatan dan bahan-bahan binaan di atas sembilan buah kapal lebih 10 ribu tan. Sebagaimana Abu Bakhtari dan orang-orang Quraish yang lain mereka datang dengan satu mesej yang tegas bahawa mereka tidak redha dengan kezaliman yang ditimpakan ke atas sauadara-saudara mereka di Gaza dan tidak ada suatupun yang akan menghalang mereka untuk menamatkan sekatan itu. Israel mengumumkan pelbagai bentuk ancaman dan ugutan sebelum konvoi belayar, ia tidak mematahkan semangat sukarelawan-sukarelawan. Salah seorang penganjur misi berkata ”Kami bertekad akan tetap ke Gaza walau apa bentuk ancaman dan ugutan kekerasan yang dibuat.” Manakala, ketua misi kemanusiaan terbesar ke Gaza ini daripada NGO Kemanusiaan di Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH) menegaskan bahawa ’Pelan A ialah kami akan memasuki Gaza, Pelan B kami akan memasuki Gaza dan Pelan C kami akan memasuki Gaza’.

Yakinlah bahawa perjuangan membebaskan bumi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa akan diterajui sendiri oleh Allah SWT. Allah SWT akan menggerakkan jundi-jundi (tentera-tenteranya) untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan umat Islam. Allah SWT akan menggerakkan dhamir umat manusia meskipun mereka dari kalangan bukan Islam untuk bersama mendokong misi yang mulia ini. Bahkan mereka bersama dengan saudara-saudara muslim di dalam misi berbahaya ini tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah diserang secara ketenteraan oleh pihak Israel. Bagi kita yang menyaksikan peristiwa penting ini dari jauh marilah kita hayati semula amanat dan pesanan yang ditinggalkan oleh ketua delegasi Malaysia sebelum mereka berangkat.

“Doakan kami, sahabat-sahabatku yang diredhai Allah untuk yang terbaik kepada misi ini dan juga saudara-saudara kita di Palestin. Semoga kita akan bertemu di tempat yang terbaik di akhirat nanti. Kepada Allah kita berserah.”

“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.” “Ya Allah! Bantulah kami”


"Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: ""Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!." Al Imran : 75


"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." At Taubah:71

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”

Negara Haram Israel dengan begitu kejamnya telah menyerang konvoi berkenaan pada 31hb Mei jam 4.30 pagi ketika sukarelawan Muslim sedang solat Subuh di perairan antarabangsa dan telah membunuh lebih dari 20 orang sukarelawan dan angka ini mungkin akan meningkat kerana masih ada sukarelawan yang hilang. Israel telah merampas 6 buah kapal konvoi. Dilaporkan lebih daripada 50 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada subuh hari Isnin 31hb Mei yang lalu. Konvoi kemanusiaan itu diserang ketika mereka berada 65 batu nautika dari persisiran pantai, iaitu di perairan antarabangsa. Tentera Israel dengan kejamnya menembak para relawan yang terdiri orang awam, kanak-kanak kecil, ahli parlimen, petugas media, kaum wanita, ulamak dan warga emas.

Mereka secara biadapnya melanggar perjanjian antarabangsa apabila mereka menyerang dan merampas kapal-kapal di perairan antarabangsa. Satu perbuatan yang hanya dilakukan oleh lanun-lanun. Hakikat ini telah menyerlahkan sikap Yahudi yang sebenar!! Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

Alhamdulillah, hampir kesemua sukarelawan telah dibebaskan termasuk 12 orang sukarelawan Malaysia pada 3hb Jun 2010, iaitu pada Rabu lepas setelah mendapat bantahan dan kecaman hebat dari seluruh pelusuk dunia.

Walaupun hampir kesemua sukarelawan yang ditawan sudah dibebaskan dan kapal serta muatan telah dirampas, ini bukan bermakna misi menerobos tembok kematian telah berakhir kerana hakikatnya misi ini belum tamat episodnya dan tugas dan tanggungjawab kita masih belum lagi selesai. Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di dalam Islam tidak mengenal batas negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorang itu mengucap kalimah syahadah maka dia adalah saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya, maka menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya. Ini adalah kerana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.”

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam terhadap kezaliman yang sedang berlaku ke atas umat Islam, Beberapa tindakan praktikal perlu dilakukan oleh umat Islam.

Pertama, Bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita dari keadaan yang lemah ini dan mengampuni kealpaan selama ini.

Kedua, Solat hajat memohon kepada Allah agar memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya bangkit dari kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Mudah-mudahan Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh zionis yahudi. Kita yakin golongan yang dizalimi dan teraniaya pasti didengari doa mereka dan akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Ketiga, Umat Islam tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka.


“Wahai orang yang beriman. Sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (As saff:11)

Renungan untuk umat Islam bahawa kezaliman dan penganiayaan itu bukan bumi biasa, tetapi bumi yang diberkati, bumi para Nabi, bumi Isra’ dan mikraj dan bumi di mana terletak masjid al Aqsa yang dimuliakan Allah SWT di samping masjid al Haram dan masjid an-Nabawi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

الحمد لله الذى أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله وكفى بالله شهيدا ، أشهد أن لااله الا الله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله ، اللهم صل وسلم على رسولك محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين . أما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله أوصيكم ونفسى بتقوى الله وطاعته والتزام اوامره واجتناب نواهيه واعلموا أن الله مع المتقين.

اما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله أوصيكم وإياى بتقوى الله فقد فازمَنِ اّتَقى

ان الله وملائكته يصلون على النبى يأيها الذين أمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما اللهم صل وسلم على رسولك محمد وعلى اله واصحابه اجمعين . اللهم اغفر للمسلمين والمسليمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم الاموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات ويا قاضى الحاجات ، اللهم أعز الاسلام والمسلمين واحم حوزة الدين ، وأذل الشرك والمشركين ودمر أعداء الدين ، وانصر المجاهدين الذين يجاهدون لإعلاء كلمتك ، ونشر رسالتك ، اللهم انصرهم على عدوهم وسدد سهامهم ، ووحد كلمتهم على الحق يا رب العالمين . ربنا لا تدع لنا ذنبا إلا غفرته ولا مريضا إلا شفيته ولا هما إلا فرجته ولا دينا إلا أديته ولا مظلوما إلا نصرته ولا ظالا إلا هديته ولا حاجة من حوائج الد نيا والآخرة إلا قضيتها ويسرتها يا رب العالمين ، ربنا لا تزغ قلوبنا بعد اذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمه انك انت الوهاب ، ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار.

عباد الله!

ان الله يأمر بالعدل والاحسان وايتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغى يعظكم لعلكم تذ كرون فاذكروا الله العظيم يذ كركم واشكروا على نعمه يزدكم واسألوا من فضله يعطكم ولذكر الله أولى وأجل واكبر والله يعلم ما تصنعون

[+/-] Selengkapnya...