CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

08 Mei 2008

SAID B AMIR AL-JUMAHI:Membeli Akhirat dengan Dunia




“Dia telah membeli akhirat dengan dunia dan telah mengutamakan keredhaan Allah dan Rasul melebih segala-galanya.” (Tokoh Sejarah)

Beliau telah menyaksikan pembunuhan seorang sahabat Khubaib b Adi di khalayak umum.Mereka sengaja mempertontonkan pembunuhan tersebut kerana ingin membalas dendam tehadap Nabi Muhammad SAW atas kekalahan mereka di dalam Peperangan Badar. Khubaib b Adiy pergi meninggalkan umat Islam dengan meletakkan dirinya menggantikan tempat Rasulullah untuk menerima penyeksaan kaum kafir Quraisy.Melihat pengorbanan Khubaib telah membuka pintu hati Said b Amir untuk memeluk Islam di mana drama pembunuhan Khubaib memberi pengajaran besar terhadap dirinya agar hidup berjuang mempertahankan aqidah. Setelah mengiklankan pengIslamannya, beliau telah menjadi orang paling rapat dengan Nabi Saw sehingga turut terbabit di dalam peperangan seperti Peperangan Khaibar dan lain-lain.
Selepas kewafatan Rasulullah, beliau menjadi pembela setia kepada dua khalifah ar-Rasyidin, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab.Adalah menjadi kelaziman umat zaman ini apabila berlakunya perdampingan yang erat di antara rakyat dan pemimpin akan membawa kepada kesenangan dan kekayaan di dalam hidup.Namun ini tidak berlaku kepada Said yang lebih mementingkan keridhaan Allah dan Rasul melebihi kehendak hawa nafsu serakah dan godaan syaitan yang direjam.Malah beliau sentiasa menasihati para khalifah tentang pemerintahan mereka seperti yang berlaku ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab: “Wahai Umar! Takutlah kepada Allah dalam memerintah manusia.Jangan takut kepada manusia dalam menjalankan urusan Allah!” Begitulah nasihat emasnya buat khalifah Ar-Rasyidin yang kedua tersebut.
Pada suatu ketika di zaman Umar al-Khattab, ketika beliau ingin melantik Gabenor di Hims, beliau telah memanggil Said b Amir dengn katanya: “Wahai Said, Kami telah melantik engkau menjadi Gabenor di Hims.” Lalu dibalas oleh Said dengan katanya: “Wahai Umar! Aku memohon kepada Allah agar engkau tidak mendorong sahaja condong kepada dunia” Lalu dengan marahnya Khalifah Umar membalas: “ Celaka engkau! Engkau meletakkan amanah pimpinan di bahuku, lalu engkau membiarkan aku sendirian.” Lalu dijawab Said: Demi Allah! Aku tidak akan membiarkan engkau bersendirian.”
Lalu beliau bertolak ke Hims untuk menjalankan urusan pemerintahan seperti yang diamanahkan oleh Khalifah Umar.Tidak beberapa lama kemudian Khalifah Umar telah menghantar utusan dari penduduk Hims agar memberikan laporan dan nama-nama fakir miskin di kalangan penduduk Hims. Lalu setelah meneliti senarai nama fakir miskin, Khalifah Umar telah terkejut apabila menemui nama Said b Amir al-Jumahy lalu bertanya “ Siapakah Said b Amir yang kalian tulis ini?” “Beliau ialah Gabenor kami” jawab mereka. “Benarkah Gabenor kamu fakir?” tanya Khalifah kehairanan. “Demi Allah wahai Amirul Mukminin! Said memang seorang fakir. Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda api menyala (tidak memasak).”jawab mereka meyakinkan. Mendengar perkataan mereka menangis Khalifah Umar sehingga membasahi janggutnya lalu beliau mengambil pundi berisi wang dinar. “Kembalilah ke Hims.Sampaikan salamku kepada Said b Amir.Dan kirimkan wang ini kepada beliau untuk meringankan kesulitan rumah tangganya.”
Setibanya di Hims, delegasi itu segera menghadap Gabenor Said untuk menyampaikan salam dan wang kiriman Khalifah kepada beliau.Setelah Gabenor Said melihat wang tersebut lalu dijauhkannya seraya berkata : “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun” Mendengar ucapan beliau tadi, lalu isterinya menghampirinya seraya bertanya: “Apakah yang berlaku wahai Said?Adakah Amirul Mukminin telah wafat?” “Bahkan lebih dahsyat dari itu” jawabnya kesedihan. “Apakah tentera Muslimin telah tewas di medan peperangan” tanya isterinya pula. “Jauh lebih besar dari itu.” “Apakah yang lebih besar dari itu wahai Said?’tanya isterinya lagi. “Dunia telah memasuki diriku untuk merosakkan akhiratku dan telah halal fitnah di rumahku ini.” “Jauhkan semua itu wahai Said.” Jawab isterinya “Mahukah engkau menolongku untuk berbuat demikian?” “Sudah tentu...”jawab isterinya bersemangat. Beliau mengambil pundi wang tersebut lalu diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.
Tidak beberapa lama kemudian, Khalifah Umar berkunjung ke Syria, beliau telah singgah ke Hims untuk memantau pemerintahan Gabenor Said b Amir.Lalu setibanya beliau di sana, beliau telah dialu-alukan oleh rakyat lantas melaporkan tentang kelemahan Gabenor kepada Kahlifah Umar.Lalu Khalifah Umar berdoa “Semoga sangka baik aku selama ini terhadap Said b Amir tidak meleset.” Lalu setelah berkumpul rakyat Hims dan Gabenor Said di hadapan Khalifah, lalu mereka mengutarakan permasalahan mereka.
“Wahai Said, aku panggil engkau pada hari ini untuk menjawab segala aduan rakyat Hims terhadap engkau.” Ujar Khalifah.Lalu Khalifah berkata “Wahai rakyat Hims!!Katakanlah apa telah kamu katakan kepadaku sebelum ini.” Lalu bangun seorang rakyat Hims seraya berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Gabenor Said seringkali lewat bertemu rakyat sehingga matahari terbit baru kami dapat bertemunya.” Apakah jawapan kamu wahai Said b Amir?” tanya Khalifah. Lalu Said terdiam sejenak lantas menjawab “Demi Allah, Sesungguhnya aku keberatan untuk menjawab tetapi aku harus menjawabnya juga. Sebenarnya keluargaku tidak mempunyai pembantu.Maka setiap pagi aku terpaksa membuat adunan roti terlebih dahulu buat keluargaku.Sesudah adunan tersebut siap, barulah aku membuat roti.Kemudian barulah aku berwudhuk dan keluar bertemu rakyatku.” “Subhanallah” Jawab Amirul Mukminin dengan nada lega.
“Apakah lagi aduan kamu wahai rakyat Hims?”tanya Khalifah. Lalu bangun seorang lagi rakyat Hims mengadu : “Gabenor kami tidak akan melayan sesiapa pada malam hari” “Bagaimanakah dengan hal ini wahai Said?” Khalifah bertanya. “Sesungguhnya ini lebih berat bagiku untuk memberikan jawapan terutama di hadapan khalayak umum seperti ini.Sesungguhnya aku telah membahagikan waktu kehidupanku.Siang telah aku jadikan untuk urusan rakyatku,malam telah aku peruntukkan untuk urusanku dengan Tuhanku.” lanjut Said. “Subhanallah” Jawab Amirul Mukminin kelegaan.
“Apakah lagi aduan kamu wahai rakyat Hims?”tanya Khalifah. Lalu bangun seorang lagi rakyat Hims mengadu : “Wahai Amirul Mukminin, Di dalam sebulan ada sehari Gabenor kami tidak akan keluar menemui kami” Bagaimanakah dengan hal ini wahai Said? tanya Khalifah. “Sebagaimana yang aku terangkan tadi,aku tidak mempunyai pembantu rumah.Di samping itu aku hanya memiliki sepasang pakaian yang melekat di tubuhku.Aku akan mencucinya sekali setiap bulan.Kemudian aku terpaksa menunggunya kering dahulu.Setelah itu barulah aku dapat keluar menemui rakyatku.”ucap Said.
“Apakah lagi aduan kamu wahai rakyat Hims?”tanya Khalifah. Lalu bangun seorang lagi rakyat Hims mengadu : “Gabenor Said seringkali meninggalkan majlis sewaktu menutup bicara beliau” “Silalah jawab wahai Said” ujar Khalifah. “Ketika aku masih musyrik dahulu, aku pernah menyaksikan almarhum Khubaib b Adiy dibunuh kaum kafir Quraisy.Aku menyaksikan mereka mencincang-cincang tubuh Khubaib.Pada waktu itu mereka bertanya sambil mengejek Khubaib “Hei Khubaib, mahukah engkau jika si Muhammad menggantikan engkau dan kemudian engkau kami bebaskan?” Ejekan mereka dijawab dengan tegas oleh Khubaib: “Aku tidak ingin bersenang lenang dengan anak isteriku sedangkan Nabi Muhammad terseksa.” “Demi Allah..!!” kata Said “Jika aku teringat peristiwa itu, di mana waktu itu aku membiarkan Khubaib tanpa ku belanya sedikit pun, maka aku merasa bahawa dosaku tidak akan diampuni Allah SWT.” “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang tidak mengecewakanku.” Kata Khalifah Umar mengakhiri dialog tersebut.
Begitulah sifat peribadi seorang pemimpin yang zuhud dan tidak terpengaruh langsung dengan kehidupan dunia yang penuh dengan kebendaan matrialistik.Beliau sentiasa berasa qana`ah (cukup) dengan apa yang dimiliki kerana beliau meyakini balasan Allah di akhirat jauh lebih hebat dari habuan dunia yang dimiliki.Semoga Allah taala meredhai Said b Amir yang telah membeli akhiratnya dengan menghindari kemewahan dunia, mengutamakan keredhaan Allah melebihi segala-galanya.

0 comments: