Ramadhan adalah bulan barakah, rahmat, dan kebahagiaan. Betapa perlunya manusia merenung sejenak untuk bersiap-siap menyambutnya berikutan banyaknya kebaikan-kebaikan yang terkandung di dalamnya. Ia merupakan bulan yang dihormati di masa jahiliyah, dan semakin dihormati dan dimuliakan ketika Islam datang. Pada bulan ini Allah Subha Nahu Wa Taala menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia. Betapa perlunya kita mengenangkan dan menyedarkan jiwa tentang hak Ramadhan sebelum menemuinya.
Saudaraku sekalian, Allah Subha Nahu Wa Taala menjadikan bulan ini sebagai bulan yang agung, memberikan keistimewaan yang banyak sekali kepadanya, serta menjadikannya sebagai salah satu fasa kehidupan yang paling berharga dan salah satu stesyen perjalanan di atas jalan hidup yang lurus. Pada bulan itu, seorang Muslim mencurahkan sebahagian besar perhatiannya kepada Allah Subha Nahu Wa Taala, hari Akhirat dan peningkatan rohani sebelum peningkatan material. Ia adalah bulan ruhani, bulan kebersihan jiwa, bulan munajat, serta waktu untuk mengadap yang Maha Esa, memohon pertolongan daripada Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan menjalin hubungan dengan Al-Mala’ul A’la. Ia adalah bulan yang mempunyai penuh keistemewaan. “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kalian hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kalian mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kalian, supaya kalian bersyukur.” (Al-Baqarah:185)
Ada penarik perhatian yang indah dan kenikmatan yang luar biasa, iaitu apabila dihubungkan kandungan ayat ini dengan ayat yang lain. “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)
Hakikat agung yang terkandung di dalamnya ialah bahawa Allah Subha Nahu Wa Taala mendorong kita untuk bermunajat dan memohon kepadaNya pada saat jiwa dalam keadaan paling dekat dengan Rabb-Nya. “Agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)
Bulan Ramadhan ialah bulan permohonan, munajat, hidayah, dan petunjuk kebenaran. Hendaklah orang yang berpuasa mengemblengkan diri di dalamnya dan menjauhkannya daripada urusan material, agar kemanusiaannya meningkat dan bersambung dengan Rabb-nya.
Banyak hadis yang menyeru manusia agar memperhatikan keutamaan bulan ini, ketinggian kedudukannya, kemuliaan hari-harinya, dan besarnya nilai taubat di dalamnya, sehingga memacu kaum Muslimin untuk menyiapkan diri menjumpainya serta menyedari bahawa perniagaaan di dalamnya pasti mendatangkan keuntungan. Waktu-waktu yang akan berlalu di dalamnya sangat-sangat berharga, dan kesempatan yang ada merupakan kesempatan emas. “Wahai pencuri kejahatan berhentilah! Dan wahai pencari kebaikan kemarilah!”
Hendaklah anda benar-benar berusaha agar tidak ada waktu yang berlalu tanpa amal soleh. Jika anda lalai, hendaklah kalian segera menyedari kelalaian anda. Terapi atas kelengahan adalah ingat-mengingati, introspeksi diri, dan sentiasa menjalin hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Taala. “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat akan Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Al-A’raf:201)
Apabila syaitan berhasil menimpakan kelalaian pada hati kita dan menjauhkan kita daripada sebahagian kebaikan, maka hendaklah kita lebih serius dalam perjalanan, mengerahkan segenap upaya, dan mengadap kepada Allah Subha Nahu Wa Taala. “Dan Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya.” (Asy-Syura:25)
Hendaklah manusia melakukan persiapan dengan sentiasa bertaubat, memohon ampun, dan meninjau lembaran-lembaran masa lalu. Apabila kita mendapati kebaikan, kita memuji Allah Subha Nahu Wa Taala, dan apabila kita mendapati keburukan, kita meninggalkannya seraya bertaubat kepada-Nya.
Jika di dalam sehari, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bertaubat seratus kali, sedangkan sebagaimana anda tahu, Allah Subha Nahu Wa Taala telah mengampuni segala dosa baginda yang telah lalu maupun yang akan datang, maka bagaimana pendapat anda tentang orang yang diliputi oleh perbuatan maksiat dari segala penjuru serta tenggelam dalam kesenangan dan syahwatnya. Maka kewajiban kita adalah memperbanyak istighfar apalagi kita berada dalam bulan suci. Kita mengadap kepada Allah Subha Nahu Wa Taala dengan keimanan sempurna dan keikhlasan yang tulus, seraya memohon agar Dia memberi kita kemampuan untuk menempuh sebab-sebab. “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kalian akan menutupi kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (At-Tahrim:8)
Maka, mulai sekarang, hendaklah anda bersungguh-sungguh menyucikan diri dari kotoran-kotoran dosa dan maksiat, kerana anda semua menghadapi kedatangan bulan Ramadhan. Karunia Allah Subha Nahu Wa Taala pada bulan Ramadhan lebih luas daripada waktu lain. Maka, persiapkan diri anda semua untuk menghadapi kewajipan agung ini dengan mengingatkan diri tentang keutamaan bulan ini dan mempersiapkan diri untuk beramal.
Berusahalah agar anda mempunyai amalan yang tidak anda tinggalkan sepanjang bulan Ramadhan. Bersemangatlah dalam melaksanakan sembahyang terawih. Sembahyang terawih merupakan salah satu sunnah muakkadah serta syiar dan kekhususan bulan Ramadhan. Ia adalah wadah tempat hati seorang Muslim berhubung dengan Tuhannya dan Kitabullah. Jumlah rakaat dalam sembahyang terawikh adalah lapan, itulah yang dilaksanakan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Boleh juga dilakukan dua puluh rakaat, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar r.a. Ada pula yang melaksanakan tiga puluh enam rakaat, dan ini sebagaimana yang dilaksanakan oleh penduduk Madinah. Masing-masing mempunyai dasar daripada sunnah.
Rujukan: Ceramah-ceramah Hasan Al-Banna
0 comments:
Catat Ulasan