CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

09 Januari 2010

Muharram: Dari "Single" kepada "Couple"


Setelah beberapa bulan tidak meng"update" blog ini diri ini terpanggil semula untuk menulis semula.Coretan ini ditulis selepas diri ini bergelar seorang suami.Moga tulisan ini akan memberi manfaat kepada sahabat-sahabat sekalian.Alhamdulillah saya telah selamat mendirikan baitulMuslim pada 1 Muharram 1431H yang lalu. Alhamdulillah bersyukur pada Allah atas kemudahan yang diberikan dan ada beberapa perkongsian yang ingin dikongsikan.


Saya melalui proses yang panjang untuk mendirikan baitul Muslim walaupun di sana terdapat halangan dan kepayahan yang ditempa.Namun ingin disebut di sini hati saya tenang apabila saya memilih beliau sebagai isteri. Bulan Ramadhan 2008 mencatat sejarah di mana saya memohon Allah memberkati pilihan saya.Lantas pada bulan Disember 2008 saya meminta bantuan rakan sebagai orang tengah untuk menguruskan penyatuan ini. Alhamdulillah perjalanan majlis khitbah berjalan lancar sehingga kami disatukan pada 1 Muharram 1431H/ 18 Disember 2009.Syukur padamu ya Allah.


Wasiat Mereka

Saya ingin kongsikan di dalam kitab Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna , beliau sangat menitikberatkan aspek amal untuk ahli-ahlinya di mana amal soleh adalah manifestasi kepada Iman dan kedua-duanya (AMAL dan IMAN) merupakan sebab kepada kemenangan di dunia dan akhirat. Menurut beliau lagi, beramal dalam medan dakwah adalah perkara paling penting agar deen Allah tertegak di muka bumi dan perundangan Islam dapat ditegakkan.Beliau seterusnya menggariskan peringkat amal yang praktikal selepas membentuk peribadi Muslim ialah mendirikan Baitul Muslim.
Ustaz Fathi Yakan, dalam buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" menyebut “Langkah pertama dan langkah yang sejajar dengan tabiat agama Islam dalam bidang ini ialah dengan saya membentuk rumahtangga saya supaya menjadi rumahtangga muslim. Saya adalah bertanggungjawab menegakkan Islam dalam masyarakat rumahtangga saya yang kecil ini. Saya bertanggungjawab menyampaikan Islam kepada keluarga saya, isteri saya, anak-anak saya kemudian saya bertanggungjawab pula menyampaikan Islam kepada kaum kerabat saya dan inilah cara yang telah diikuti oleh Rasulullah saw di permulaan dakwah”.


Justeru kita dapat memahami bahawa walimatulurus atau BaitulMuslim merupakan satu proses yang dilalui oleh seorang Muslim agar rumahtangga yang dibina menuju ke arah BaitudDakwah. Proses ini sangat penting untuk penerusan kefahaman fikrah Islam untuk membentuk keluarga yang Soleh dan Musleh, Masyarakat yang Soleh dan Musleh sehingga akhirnya membentuk Daulah Islamiyah yang sempurna.Maka perlu difahami perkahwinan bukanlah medan untuk berseronok semata-mata bahkan ia adalah medan tanggungjawab di mana segala yang ditanggung dan dipikul perlu dijawab di depan Allah kelak.Tanggungjawab suami dan isteri ini disebut d alam Surah An-Nisa ayat 34:

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas
sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” (An-Nisa:34)

Tanggungjawab Pasangan

Para suami perlu INGAT bahawa mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami yang soleh juga akan memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan dan melayani isteri dengan baik. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh y
ang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

Selain itu ingatlah para isteri yang dikasihi Allah SWT, antara ciri-ciri sifat isteri yang solehah itu apabila dia taat kepada Allah SWT, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan suaminya. Selain itu, menjaga sembahyang lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Maka masuklah dia ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang disukainya. Berazamlah untuk menjadi isteri yang solehah. Sebaik-baik perhiasan kepada sesebuah rumahtangga itu ialah isteri yang solehah agar dapat membina keluarga sakinah.

Adalah menjadi tanggungjawab pasangan untuk bertimbang rasa, bertolak ansur, berlapang dada dan sedar bahawa setiap kelemahan dan kekurangan pasangan diperbaiki dan diperbetulkan.Janganlah setiap pasangan hanya melihat kepada aspek kelemahan tanpa mengambil kira kebaikan yang banyak pada pasangan masing-masing. Sebagai suami dan isteri Muslim kita adalah pelengkap dan agen perubah serta mekanik kepada pasangan kita.Di dalam kata lain pula janganlah pasangan terlampau melihat kebaikan pasangan sehingga tidak mampu menegur kesilapan dan kekurangan masing-masing.

Membentuk Rumahtangga Dakwah

Justeru perkara paling penting di dalam pengurusan rumah tangga ialah menjadikan baitulMuslim itu sebagai rumahtangga dakwah.Rasulullah saw merupakan contoh terbaik di dalam aspek pengurusan baituddakwah inii di mana Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”.
(Al-Ahzab:21)

Baginda saw telah menunjukkan qudwah yang baik di dalam aspek mendidik isteri terutama di dalam proses tarbiyah dan dakwah bagi seseorang isteri.Isteri-isteri baginda contohnya dididik oleh baginda untuk bersama-sama berjuang di medan peperangan untuk membantu kaum Muslimin.Para Ummahatulmukminin ini menjadi contoh kepada para isteri dan para suami di dalam melayari dan menguruskan rumahtangga yang dibina.

Rumahtangga dakwah yang sebenarnya ialah apabila berlaku proses pendidikan atau tarbiyah Islamiyah di mana proses ini sangat penting untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Islam. Jika rumahtangga hidup tanpa tarbiyah Islamiyah maka ia akan mencacatkan kemanisan rumahtangga dan keseriusan di dalam berdakwah. Adalah perlu diingat bahawa rumahtangga Muslim merupakan sebahagian juzuk di dalam proses membentuk masyarakat yang memahami dan menghayati Islam sehingga disebut sebagai mujtama` Islamiy.

Proses tarbiyah Imaniyyah ini sangat penting di mana sang suami memulakan proses didikan terhadap sang isteri sebelum proses ini berterusan dan berlanjutan kepada anak-anak sebagaimana Rasulullah saw mendidik isteri-isteri baginda supaya menjadi qudwah buat para ibu dan kaum Muslimin.Pakar pakar pendidikan barat juga menyedari hakikat qudwah dan menyebutkannya sebagai”the hidden curriculum”atau kurikulum yang tersembunyi. Pembinaan Syakhsiah yang dibina di atas dasar keimanan yang teguh sahaja dapat membuahkan syakhsiyah contoh yang menjadi kurikulum praktikal bagi pertumbuhan jiwa dan perlakuan anak.

Akhirnya..

Saya memohon sahabat-sahabat semua mendoakan bahtera dakwah yang dibina ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah serta diberi kekuatan untuk membantu menyemarakkan lagi perjuangan menegakkan Islam di muka bumi Allah. Sesungguhnya diri ini tidak kuat tanpa doa dan teguran serta nasihat daripada kalian.

Akhir kata da'wah dan pendidikan perlu dilaksanakan di dalam rumah tangga secara terancang dan berterusan. Anak dan isteri perlu dibimbing peringkat demi peringkat dan tahap demi tahap untuk menjadikan dakwah Islam sebati dengan kehidupan mereka.

3 comments:

nasibah m.halim berkata...

alhamdulillah..
mg ustaz memperoleh keberkatan dalam rumahtangga Islam yang dibina dalam rangka menjadi seorg muslim yg sebenar..
tahniah..
doakan ana jg.. :)

Tanpa Nama berkata...

Ust Muzakkir,

semoga diberkati Allah dan dapat membina baitu dakwah

A Salman

Muhammad Muzakkir berkata...

syukran nasibah n abu salman..

barakallah fikum