CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

22 Mei 2008

Usahawan Akhirat...

Saidina Abd Rahman bin ‘Auf ra termasuk dalam kelompok lapan orang generasi awal yang memeluk Islam disamping tergolong dalam golongan yang mendapat gembira dijanjikan syurga Allah oleh Rasulullah SAW.Beliau turut merupakan antara enam orang sahabat yang bertanggungjawab dalam pemilihan Khalifah Islam selepas Amirul Mukminun ‘Umar bin Khattab al-Faruq.Beliau juga merupakan seorang mufti yang dilantik Rasulullah di Madinah di kalangan orang muslimin.
Namanya pada masa jahiliyah ialah ‘Abd ‘Amr. Beliau memeluk Islam sebelum Rasulullah masuk ke rumah Al-Arqam b Abi Al-Arqam iaitu dua hari selepas Saidina Abu Bakar memeluk Islam lalu Rasulullah memanggilnya dengan nama Abd Rahman.Setelah memeluk Islam beliau turut tidak terlepas daripada penyiksaan dan tekanan yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy, namun kesabaran tetap menguasai dirinya sehingga berlakunya peristiwa hijrah ke Hasbsyah untuk menyelamatkan diri dan agama daripada tekanan kafir Quraisy.


Kemudian hari silih berganti maka Rasulullah dan para sahabat diizinkan berhijrah ke Madinah.Maka beliau turut menyertai rombongan Rasulullah lalu apabila tiba di sana beliau telah dipersaudarakan dengan Sa`ad b Rabi` Al-Ansari r.a selepas berlaku proses mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Pada suatu hari Sa’ad berkata kepadanya:”Wahai saudaraku Abd Rahman, Aku merupakan antara orang yang kaya di Madinah.Aku mempunyai dua bidang kebun yang luas dan dua orang pembantu. Pilihlah salah satu di antara kedua-dua kebunku itu.Aku berikan kepadamu mana yang kamu suka. Begitu juga salah seorang di antara kedua orang pembantuku.Aku serahkan mana yang kamu senangi, kemudian aku kahwinkan engkau dengan beliau.”


Lalu Abd Rahman bin ‘Auf menjawab:”Semoga Allah melimpahkan keberkatanNya kepada saudara dan keluarga saudara serta kepada harta saudara. Saya hanya mahu memohon pertolongan agar saudara menunjukkan di mana letaknya pasar di Madinah ini?” Lalu Sa’ad menunjukkan jalan menuju ke pasar kepada Abd Rahman.Maka Abd Rahman terus berniaga di sana sehinggalah beliau berjaya mengumpul wang mahar kahwin. Beliau datang kepada Rasulullah memakai harum-haruman lalu berkata Rasulullah kepada beliau: ” Alangkah wanginya kamu, wahai Abd Rahman!” Abd Rahman menjawab : “Saya hendak berkahwin wahai Rasulullah.” Lantas Rasulullah bertanya : “Apakah mahar yang kamu berikan kepada isterimu?” Abd Rahman menjawab : “Emas seberat biji kurma.” Rasulullah terus bersabda : “Adakan kenduri walaupun hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkati pernikahan dan harta kamu.” Maka selepas sahaja didoakan oleh seorang Nabi, maka Allah mengurniakan limpahan harta yang banyak seperti yang dinukilkan daripada Abd Rahman: “Sejak itu dunia datang menghadap kepadaku (hidupku makmur dan bahagia). sehinggakan sekiranya aku angkat sebiji batu, maka di bawahnya kudapati emas dan perak.”
Perjuangan beliau bersama-sama Rasulullah banyak dinukilkan dalam lipatan sejarah.Antaranya sumbangan beliau di dalam peperangan Badar, peperangan Uhud dan sebagainya. Namun begitu, perjuangan dan pengorbanan Abd Rahman di medan tempur jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan perjuangan dan pengorbanannya dengan harta benda.
Pada suatu hari Rasulullah SAW menyampaikan ucapan dan membangkitkan semangat jihad dan pengorbanan kaum muslimin. Baginda berdiri di tengah-tengah para sahabat lalu bersabda: “Bersedekahlah wahai tuan-tuan sekalian ! Aku ingin mengutus satu pasukan ke medan perang.” Mendengar ucapan Rasulullah tersebut, Abd Rahman bergegas pulang ke rumahnya dan kembali semula ke hadapan Rasulullah lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Aku mempunyai wang empat ribu. Dua ribu saya pinjamkan kepada Allah, dan dua ribu saya tinggalkan untuk keluarga saya.” Lalu wang yang dibawanya dari rumah diserahkannya kepada Rasulullah sebanyak dua ribu. Begitulah pantasnya pengorbanan dan semangat para sahabat dalam memperjuangkan Islam tanpa dipengaruh sedikit pun oleh habuan duniawi.Lalu Rasulullah bersabda: “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepadamu, terhadap harta yang kamu berikan, dan semoga Allah memberkati pula harta yang kamu tinggalkan untuk keluargamu.”
Pada suatu ketika, Rasulullah sedang bersiap sedia untuk menghadapi Perang Tabuk dimana baginda memerlukan dana dan tentera yang ramai ekoran jumlah tentera musuh Rum sangat ramai. Di samping itu Madinah mengalami musim panas dan perjalanan ke Tabuk sangat jauh manakala dana serta haiwan tunggangan masih tidak mencukupi. Oleh yang demikian Rasulullah memerintahkan kaum muslimin mengorbankan harta benda mereka untuk berjihad fisabilillah. Maka dengan ketaatan mereka, kaum muslimin memperkenankan seruan Nabi yang mulia. Abd Rahman turut menyahut seruan Rasul tercinta dengan menyerahkan dua ratus uqiyah emas sementara Saidina ‘Umar bin Khattab berbisik kepada Rasulullah, “Agaknya Abd Rahman berdosa kerana tidak meninggalkan sedikit pun wang belanja buat isterinya.” Lantas Rasulullah bertanya kepada Abd Rahman, “Adakah engkau tinggalkan wang belanja buat isterimu?” Abd Rahman menjawab “Ada wahai Rasulullah, Bahkan lebih banyak daripada apa yang aku sumbangkan.” Rasulullah bertanya , “Berapa banyak wahai Abd Rahman?” Abd Rahman lantas menjawab , “Sebanyak rezeki, kebaikan, dan upah yang dijanjikan Allah.”
Kemudian tentera muslimin berangkat ke Tabuk dimana Allah telah memberi kemulian kepada Abd Rahman dengan kemuliaan yang belum pernah diperoleh kaum muslimin walaupun seorang jua pun, iaitu ketika waktu solat sudah masuk.Kebetulan pada hari itu Rasulullah terlambat hadir, maka Abd Rahman diangkat menjadi imam solat berjamaah bagi kaum muslimin waktu itu. Setelah hampir selesai rakaat pertama, Rasulullah tiba, lalu baginda solat di belakang Abd Rahman dan menjadi makmumnya. Apakah penghargaab lagi yang lebih mulia dan utama dari menjadi Imam bagi pemimpin umat dan pemimpin para Nabi, iaitu Muhammad Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW wafat, Abd Rahman bin ‘Auf ditugaskan menjaga kesejahteraan dan keselamatan Ummahatul Mu’minin (para isteri Rasulullah SAW). Beliau bertanggungjawab memenuhi segala keperluan mereka dan menjaga keselamatan mereka. Apabila para isteri Rasulullah tersebut pergi haji, maka Abd Rahman akan turut bersama-sama mereka. Di antara bukti sumbangan beliau buat Ummahatul Mukminin ialah beliau telah membeli sebidang tanah berharga empat ribu dinar. Lalu tanah itu dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin Bani Zuhrah, dan kepada para isteri Rasulullah. Ketika berita tersebut disampaikan kepada Saidatina Aisyah ra beliau bertanya, “Siapa menghadiahkan tanah itu kepadaku?”Maka jawabnya : “Abd Rahman bin `Auf.” Kemudian Saidatina Aisyah ra, berkata, “Rasulullah SAW pernah bersabda”; “Tidak ada orang yang kasihan pada kalian sepeninggalanku melainkan orang-orang yang sabar.” Begitulah doa Rasulullah kepada Abd Rahman selalu melindunginya sepanjang hidupnya, sehingga Abd Rahman menjadi orang terkaya di kalangan para sahabat. Perniagaannya sering meningkat dan berkembang. Kafilah dagangnya terus menerus berulang alik dari Madinah mengangkut gandum, tepung, minyak, pakaian, wangi-wangian dan segala keperluan penduduk.
Pada suatu hari rombongan kafilah dagang Abd Rahman yang terdiri daripada tujuh ratus ekor unta sarat dengan muatan tiba di Madinah membawa barang-barang keperluan penduduk. Ketika mereka masuk kota, bumi seolah-olah bergegar sehingga terdengar suara gemuruh dan hiruk pikuk. Lalu bertanya Saidatina‘Aisyah , “Suara apakah yang hiruk pikuk itu?” Mereka menjawab, “Kafilah Abd Rahman bersama tujuh ratus ekor unta sarat muatan dengan barangan keperluan penduduk.” Saidatina ‘Aisyah ra berkata, “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepada Abd Rahman dengan baktinya di dunia, serta pahala yang besar di akhirat.Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda, “Abd Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak” (kerana syurga sudah terlalu dekat kepadanya).Kemudian pembawa berita tersebut menyampaikan berita yang didengarinya daripada Saidatina `Aisyah. Serentak mendengar berita itu, bagaikan terbang beliau lantas menemui Saidatina ‘Aisyah lalu berkata: “Wahai Ummul Mukminin, apakah engkau mendengar sendiri ucapan itu daripada Rasulullah?” Lantas Saidatina `Aisyah menjawab: “Ya, aku mendengar sendiri” Lantas Abd Rahman melonjak kegirangan mendapat berita yang amat bermakna buat dirinya sambil berkata:”Seandainya aku sanggup, aku akan memasukinya sambil berjalan. Sudilah Ummul Mukminin saksikan, kafilah ini dengan seluruh muatannya aku serahkan untuk jihad fisabilillah.”
Sejak mendengar berita yang amat membahagiakan itu semangatnya semakin memuncak untuk mengorbankan kekayaannya di jalan Allah. Hartanya dinafkahkan dengan kedua belah tangan, baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, sehingga mencapai 40,000 dirham perak. Kemudian disedekahkan pula 40,000 dinar emas. Selepas itu beliau bersedekah lagi 200 uqaiyah emas. Lalu diserahkannya pula 500 ekor kuda kepada para pejuang yang lain. Tatkala beliau hampir meninggal dunia, dimerdekakannya sejumlah besar hamba yang dimilikinya. Kemudian diwasiatkan supaya memberi 400 dinar emas kepada para pejuang Badar yang berjumlah seratus orang. Beliau berwasiat pula supaya memberikan hartanya yang paling mulia untuk para isteri Rasulullah SAW sehingga Saidatina ‘Aisyah sering mendoakan, “Semoga Allah memberinya minum dengan minuman dari telaga Salsabil. ”
Di samping itu beliau meninggalkan kira-kira 1,000 ekor unta, 100 ekor kuda, 300 ekor kambing kepada ahli warisnya serta isterinya seramai empat orangsehingga masing-masing mendapat pembahagian khusus sebanyak 80,000. Selain itu masih ada beberapa harta peninggalannya berupa emas dan perak jika dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya, maka cukup menjadikan seorang ahli warisnya menjadi kaya-raya. Walaupun begitu kaya-rayanya, namun harta kekayaannya seluruhnya tidak sedikitpun mempengaruhi jiwanya yang penuh Iman dan Taqwa.
Berbahagialah Abd Rahman bin ‘Auf dengan kurnia dan darjat yang diberikan Allah kepadanya iaitu Jannatun Na`im yang merupakan sebesar-besar anugerah Maha Pencipta buat hambanya yang mengorbankan seluruh jiwa raga dan harta untuk menengakkan kalimah tauhid di muka bumi. Semasa menghantar beliau ke perkuburan Saidina ‘Ali b Abi Talib telah berkata: “Engkau telah mendapatkan kasih sayang Allah, dan engkau telah berhasil menundukkan kepalsuan dunia.”

MUHAMMAD MUZAKKIR B CHE ANI

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

semoga catatanmu diberkati AllAH


naza.... jb