CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

10 Jun 2010

Khutbah Lifeline 4 Gaza


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .

Di hari Jumaat yang mulia ini marilah mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT, dengan muhasabah diri dan menghisab diri sendiri apakah kita telah memenuhi tuntutan untuk bertaqwa kepada Allah. Sikap berhati-hati di dalam hidup dan menjaga batas-batas halal dan haram apa yang disuruh dan apa yang ditegah oleh Allah menjadikan kehidupannya sejahtera di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah hari ini Misi Lifeline 4 Gaza untuk menerobos tembok kematian (pasca-serangan tentera Yahudi paa 31 Mei).

Pada 24.5.2010 yang lalu ratusan manusia dari puluhan negara telah menggabungkan usaha mereka di dalam satu inisiatif untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan objektif untuk menerobos Tembok Kematian ’Jidarul Maut’ yang dibina mengelilingi sempadan Gaza oleh Rejim Zionis sejak empat tahun yang lalu.

Kita teringat satu peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya di Mekah yang mirip dengan apa yang berlaku kini di Gaza. Sekiranya kita membandingkan peristiwa sekatan dan kepungan Israel ke atas Gaza dengan peristiwa sekatan ekonomi ke atas Rasulullah SAW dan Bani Hashim, maka kita akan dapati sejarah telah berulang. Oleh kerana sejarah adalah satu ’sunnah’ iaitu peristiwa yang berlaku atas hukum sebab dan musababnya, maka kesudahan kepada kepungan di atas Gaza ini juga boleh dijangka.


”Dan kamu tidak akan dapati perubahan pada sunnah Allah’. ”Berjalanlah kamu di atas muka bumi dan saksikanlah apakah kesudahannya orang-orang yang melampaui batas. Demikianlah kami ceritakan kepada manusia, menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu kamu jangan merasa rendah dan merasa sedih kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya sekiranya kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Imran 137 – 139).

Ketika pemuka-pemuka Quraish menghadapi jalan buntu kerana tidak satupun helah dan makar yang mereka rencanakan untuk menghentikan dakwah Rasulullah SAW, timbul lah perancangan untuk mengenakan tekanan kepada Rasulullah SAW dan komuniti mukminin yang minoriti dengan menggunakan senjata ekonomi. Fitnah, serangan peribadi, tuduhan liar, adu domba malah penyeksaan fizikal tidak sedikitpun melemahkan jiwa umat Islam. Mereka semakin yakin dan teguh mempertahankan iman mereka. Begitu juga dalam konteks Zionis Israel pada hari ini yang menggunakan pelbagai strategi termasuklah dasar pecah dan perentah, melaga-lagakan kumpulan penentang dari kalangan rakyat Palestin, menggunakan pengaruhnya ke atas Amerika Syarikat, tekanan PBB dan masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Palestin bahkan membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam seperti Syeikh Ahmad Yassin as-Syahid dan Dr Abdul Aziz Rantisi as-Syahid tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Saf perjuangan rakyat Palestin semakin mantap dan sokongan kepada gerakan Islam semakin padu. Apabila pilihanraya umum diadakan di Palestin buat pertama kalinya untuk memilih ahli-ahli (parlimen) mereka memberikan kemenangan selesa kepada kelompok pejuang Islam yang tidak akan bertolak ansur sedikitpun dalam soal kedudukan Masjid al-Aqsa, kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air dan kampung halaman serta negara Palestin yang dirampas secara tidak sah oleh pendatang Yahudi. Maka kita dapati regim Zionis Israel telah menggunakan pendekatan yang serupa dengan orang-orang Quraish untuk melemahkan umat Islam.

Umat Islam pimpinan Rasulullah SAW semakin kuat dari sehari kesehari. Tekanan yang dikenakan tidak berbekas, sebaliknya umat Islam semakin kuat dengan masuk Islamnya Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar al-Khattab. Sebahagian umat Islam yang berhijrah ke Habsyah pula mendapat perlindungan dan simpati dari Raja Najasyi. Ini menyebabkan pemimpin Quraish telah sepakat untuk melaksanakan boikot total ke atas Rasulullah SAW dan keluarganya dari Banu Hashim dan seluruh komuniti muslim. Pengistiharan ini telah ditulis oleh Mansur bin Akromah dan diluluskan oleh Dewan Agung Quraish. Mulai saat itu tidak ada siapapun di kalangan penduduk Mekah yang dibenarkan untuk berurus niaga dan berkahwin dengan Banu Hasyim. Juga musuh-musuh Rasulullah SAW dan umat Islam akan disokong oleh orang-orang Quraish tanpa kecuali. Kita melihat persamaan ini pada tindak balas Israel ketika mereka terpukul dengan kemenangan gerakan Islam HAMAS dalam pilihanraya umum di Palestin meskipun telah membunuh pemimpin-pemimpin umat Islam dan memenjarakan puluhan ribu rakyat Palestin. Dengan memperkuda kuasa dunia, Israel mendesak Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB melalui inisiatif yang dinamakan ’Quartet Timur Tengah’ bagi mengenakan tekanan ke atas Palestin supaya mengiktiraf Israel, menghentikan penentangan dan bersedia untuk berdamai dengan pihak musuh yang telah merampas hak dan tanah air mereka. Jawapan daripada rakyat Palestin sudah dijangka iaitu menolak semua tuntutan yang menghinakan itu. Maka sama seperti tindakan Quraish, rejim Zionis Israel mengenakan sekatan ekonomi yang komprehensif dan menutup semua laluan dan pintu masuk ke Gaza pada tahun 2007. Sebagaimana Shi’ib Abi Talib pada zaman Rasulullah menjadi penjara begitu jugalah Tebing Gaza yang luasnya hanya sekitar 400 km persegi bertukar menjadi penjara yang dipagari tembok konkrit sepanjang 850 km dan tinggi antara 8 hingga 12 meter. Tebing Gaza kini merupakan penjara terbuka terbesar di dunia yang memuatkan lebih 1.5 juta rakyat Palestin.

Penderitaan rakyat Gaza tidak mungkin tergambar dengan kata-kata. Bekalan makanan terpaksa dicatu dan bekalan ubat-ubatan terputus sama sekali. Hampir 80% dari kanak-kanak Gaza mengalami kekurangan zat makanan, 80% rakyat berada di bawah tahap kemiskinan. Kita dimaklumkan, dalam keadaan terputus bekalan makanan sehingga ada keluarga yang mengutip rumput dijalanan dan direbus untuk meredakan tangisan anak-anak yang pedih perut kerana kelaparan. Dalam keadaan terkepung dan tidak mendapat perlindungan mereka diserang pula secara bertalu-talu dengan sangat kejam pada awal tahun 2009 sehingga sekitar 1,500 orang rakyat awam terbunuh dan ribuan mengalami kecederaan. Rumah-rumah, masjid, pejabat kerajaan, hospital, sekolah, universiti, kilang bahkan sekolah dan gudang milik PBB menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Walaupun sudah setahun lebih serangan biadap tersebut berlaku namun sehingga kini mereka tidak berdaya untuk membaik pulih dan membina semula bangunan yang runtuh kerana bahan binaan disekat dan tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh Rejim Zionis.

Senario ini menyamai apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW di Shi’ib Abi Talib. Oleh kerana terputus bekalan makanan maka umat Islam hanya memakan sebiji kurma atau separuh biji kurma sehari. Adakalanya mereka tidak punya sebarang makanan untuk mengalas perut yang kelaparan. Seperti yang diceritakan oleh Saad bin Abi Waqash. ”Pada satu hari aku keluar ke lembah dan aku terjumpa kulit unta yang telah kering. Lalu aku bakar dan racik, selepas itu aku rendam dalam air dan itulah makanan aku untuk selama tiga hari.”

Tangisan kanak-kanak yang kelaparan di malam hari telah menimbulkan simpati yang mendalam di kalangan orang-orang Quraish yang masih lembut hatinya. Di kalangan mereka seperti Hakim bin Hizam, Abul Ash bin Rabi’ dan Hisyam bin Umar. Mereka seringkali memunggah unta mereka dengan bekalan makanan dan membawa unta-unta tersebut ke lembah Shi’ib Abi Talib dengan harapan bekalan tersebut sampai ke tangan umat Islam. Namun kawalan ketat yang dibuat oleh peronda Quraish seringkali menggagalkan usaha ini. Sering juga mereka bertembung dengan Abu Jahal sehingga mencetuskan perbalahan di antara mereka. Semakin lama simpati di kalangan orang-orang Quraish semakin mendalam dan akhirnya menjadi gelombang protes yang tidak dapat dibendung oleh orang-orang yang berkeras untuk meneruskan boikot. Mereka bertanya sesama sendiri ”wajarkah tuan makan makanan yang terbaik sementara kerabat tuan dalam kebuluran dan tidak berpakaian.” Sebahagian yang lain pula berkata ’Jika saya bersendirian maka saya tidak berupaya untuk menghadapi Quraish, tetapi jika orang yang bergabung dengan saya maka saya tidak teragak-agak untuk mengoyak penjanjian sekatan di kaabah.”. Bergabunglah beberapa orang Quraish di antara mereka Hisyam bin Umayr, Zuhair bin Abi Umayah, Mut’am bin Adi, Abul Bakhtari dan Zam’ah. Mereka berlima mengistiharkan pembatalan perjanjian sekatan dengan sokongan ramai orang-orang Quraish yang lain sehingga tidak dapat dibantah oleh Abu Jahal. Mereka berhasrat untuk mengoyakkan surat perjanjian tersebut tetapi mendapatinya telahpun dimakan anai-anai kecuali pada ayat yang tertulis ’Dengan Nama Allah”.

Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sejak sekian lama mula mendapat simpati masyarakat antarabangsa. Manusia mempunyai hati dan perasaan mereka merasai apa yang dirasai oleh orang-orang Quraish ketika Rasulullah SAW dan umat Islam dikepung di Shi’ib Abi Talib. Pada 24 Mei 2010 hampir 700 orang berkampung di Antalya, Turki untuk menaiki kapal yang akan membawa mereka masuk menerobos tembok kematian Gaza. Mereka mewakili lebih 50 negara samada muslim atau bukan muslim satu tujuan iaitu untuk menerobos sekatan kejam yang dikenakan oleh Rejim Zionist ke atas seluruh rakyat Gaza. Sebagaimana Hakim bin Hizam, mereka membawa ubat-ubatan, alat-alat tulis dan persekolahan, alat-alat sukan dan permainan, generator elektrik, peralatan perubatan dan bahan-bahan binaan di atas sembilan buah kapal lebih 10 ribu tan. Sebagaimana Abu Bakhtari dan orang-orang Quraish yang lain mereka datang dengan satu mesej yang tegas bahawa mereka tidak redha dengan kezaliman yang ditimpakan ke atas sauadara-saudara mereka di Gaza dan tidak ada suatupun yang akan menghalang mereka untuk menamatkan sekatan itu. Israel mengumumkan pelbagai bentuk ancaman dan ugutan sebelum konvoi belayar, ia tidak mematahkan semangat sukarelawan-sukarelawan. Salah seorang penganjur misi berkata ”Kami bertekad akan tetap ke Gaza walau apa bentuk ancaman dan ugutan kekerasan yang dibuat.” Manakala, ketua misi kemanusiaan terbesar ke Gaza ini daripada NGO Kemanusiaan di Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH) menegaskan bahawa ’Pelan A ialah kami akan memasuki Gaza, Pelan B kami akan memasuki Gaza dan Pelan C kami akan memasuki Gaza’.

Yakinlah bahawa perjuangan membebaskan bumi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa akan diterajui sendiri oleh Allah SWT. Allah SWT akan menggerakkan jundi-jundi (tentera-tenteranya) untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan umat Islam. Allah SWT akan menggerakkan dhamir umat manusia meskipun mereka dari kalangan bukan Islam untuk bersama mendokong misi yang mulia ini. Bahkan mereka bersama dengan saudara-saudara muslim di dalam misi berbahaya ini tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah diserang secara ketenteraan oleh pihak Israel. Bagi kita yang menyaksikan peristiwa penting ini dari jauh marilah kita hayati semula amanat dan pesanan yang ditinggalkan oleh ketua delegasi Malaysia sebelum mereka berangkat.

“Doakan kami, sahabat-sahabatku yang diredhai Allah untuk yang terbaik kepada misi ini dan juga saudara-saudara kita di Palestin. Semoga kita akan bertemu di tempat yang terbaik di akhirat nanti. Kepada Allah kita berserah.”

“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”

“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.” “Ya Allah! Bantulah kami”


"Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: ""Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!." Al Imran : 75


"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." At Taubah:71

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”

Negara Haram Israel dengan begitu kejamnya telah menyerang konvoi berkenaan pada 31hb Mei jam 4.30 pagi ketika sukarelawan Muslim sedang solat Subuh di perairan antarabangsa dan telah membunuh lebih dari 20 orang sukarelawan dan angka ini mungkin akan meningkat kerana masih ada sukarelawan yang hilang. Israel telah merampas 6 buah kapal konvoi. Dilaporkan lebih daripada 50 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada subuh hari Isnin 31hb Mei yang lalu. Konvoi kemanusiaan itu diserang ketika mereka berada 65 batu nautika dari persisiran pantai, iaitu di perairan antarabangsa. Tentera Israel dengan kejamnya menembak para relawan yang terdiri orang awam, kanak-kanak kecil, ahli parlimen, petugas media, kaum wanita, ulamak dan warga emas.

Mereka secara biadapnya melanggar perjanjian antarabangsa apabila mereka menyerang dan merampas kapal-kapal di perairan antarabangsa. Satu perbuatan yang hanya dilakukan oleh lanun-lanun. Hakikat ini telah menyerlahkan sikap Yahudi yang sebenar!! Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

Alhamdulillah, hampir kesemua sukarelawan telah dibebaskan termasuk 12 orang sukarelawan Malaysia pada 3hb Jun 2010, iaitu pada Rabu lepas setelah mendapat bantahan dan kecaman hebat dari seluruh pelusuk dunia.

Walaupun hampir kesemua sukarelawan yang ditawan sudah dibebaskan dan kapal serta muatan telah dirampas, ini bukan bermakna misi menerobos tembok kematian telah berakhir kerana hakikatnya misi ini belum tamat episodnya dan tugas dan tanggungjawab kita masih belum lagi selesai. Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di dalam Islam tidak mengenal batas negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorang itu mengucap kalimah syahadah maka dia adalah saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya, maka menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya. Ini adalah kerana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.”

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam terhadap kezaliman yang sedang berlaku ke atas umat Islam, Beberapa tindakan praktikal perlu dilakukan oleh umat Islam.

Pertama, Bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita dari keadaan yang lemah ini dan mengampuni kealpaan selama ini.

Kedua, Solat hajat memohon kepada Allah agar memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya bangkit dari kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Mudah-mudahan Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh zionis yahudi. Kita yakin golongan yang dizalimi dan teraniaya pasti didengari doa mereka dan akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Ketiga, Umat Islam tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka.


“Wahai orang yang beriman. Sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (As saff:11)

Renungan untuk umat Islam bahawa kezaliman dan penganiayaan itu bukan bumi biasa, tetapi bumi yang diberkati, bumi para Nabi, bumi Isra’ dan mikraj dan bumi di mana terletak masjid al Aqsa yang dimuliakan Allah SWT di samping masjid al Haram dan masjid an-Nabawi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

الحمد لله الذى أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله وكفى بالله شهيدا ، أشهد أن لااله الا الله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله ، اللهم صل وسلم على رسولك محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين . أما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله أوصيكم ونفسى بتقوى الله وطاعته والتزام اوامره واجتناب نواهيه واعلموا أن الله مع المتقين.

اما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله أوصيكم وإياى بتقوى الله فقد فازمَنِ اّتَقى

ان الله وملائكته يصلون على النبى يأيها الذين أمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما اللهم صل وسلم على رسولك محمد وعلى اله واصحابه اجمعين . اللهم اغفر للمسلمين والمسليمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم الاموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات ويا قاضى الحاجات ، اللهم أعز الاسلام والمسلمين واحم حوزة الدين ، وأذل الشرك والمشركين ودمر أعداء الدين ، وانصر المجاهدين الذين يجاهدون لإعلاء كلمتك ، ونشر رسالتك ، اللهم انصرهم على عدوهم وسدد سهامهم ، ووحد كلمتهم على الحق يا رب العالمين . ربنا لا تدع لنا ذنبا إلا غفرته ولا مريضا إلا شفيته ولا هما إلا فرجته ولا دينا إلا أديته ولا مظلوما إلا نصرته ولا ظالا إلا هديته ولا حاجة من حوائج الد نيا والآخرة إلا قضيتها ويسرتها يا رب العالمين ، ربنا لا تزغ قلوبنا بعد اذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمه انك انت الوهاب ، ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار.

عباد الله!

ان الله يأمر بالعدل والاحسان وايتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغى يعظكم لعلكم تذ كرون فاذكروا الله العظيم يذ كركم واشكروا على نعمه يزدكم واسألوا من فضله يعطكم ولذكر الله أولى وأجل واكبر والله يعلم ما تصنعون

0 comments: