CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

15 Jun 2010

Selangkah ke Bulan Ramadhan : Semarakkan Langkah Pemuda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat semua ahli HALUANSiswa yang dikasihi Allah.

Alhamdulillah kita memanjatkan syukur pada Allah kerana masih diberi kekuatan untuk terus bekerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Baru-baru ini kita disibukkan dengan pelbagai program ummah melibatkan program Palestin terutamanya yang memerlukan garapan tenaga muda daripada sekalian ahli Haluansiswa. Ramai di kalangan ahli bersiap siaga turun ke medan untuk memperkuatkan perjuangan Haluan Malaysia membela nasib warga Palestin yang tertindas.Ingatlah wahai ahli Haluansiswa hakikat perjuangan ini tidak akan tercapai tanpa usaha bersama semua warga Haluansiswa di segenap pelusuk negara.

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.'

Sebagai seorang ahli Haluansiswa yang sentiasa bekerja mengorbankan harta, wang ringgit dan masa, kita akan mempunyai masa terhad dalam usia yang mampu memberi sesuatu. Kemudian ia mula surut kebelakang (susut). Firman Allah swt: " Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan diantara manusia."
Dan benarlah sabda Rasulullah: "Kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasala‘Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesh dia.

Maka di sini kita memahami bahawa tuntutan zaman pemuda adalah bagaimana suasana hari ini amat memerlukan tenaga para pemuda untuk menggerakkan setiap inci daripada tiang-tiang Islam. Setiap tiang ini memerlukan penjaga yang berkeupayaan untuk menggenggam erat agar tiang-tiang tersebut berdiri utuh bertunjangkan aqidah yang benar kepada Allah swt.Jiwa pemuda yang mudah tersentuh dan bersemangat membuatkan zaman kegemilangan Islam menjadi sejarah yang agung dengan kehebatan pemuda seperti Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali b Abi Talib dan beberapa orang sahabat Nabi lagi.

SIFAT AHLI HALUANSISWA

Justeru sebagai seorang Pemuda Islam yang bersedia menggalas amanah dan bebanan ini, kita mengharapkan agar ahli-ahli Haluansiswa menerapkan sifat-sifat dan ciri-ciri berikut di dalam diri mereka :

1. Ahli Haluansiswa mestilah siap sedia untuk disusun atur di mana ahli Haluansiswa hendaklah menyediakan jiwa, akal dan fizikal untuk menerima dan menurut arahan daripada pimpinan daerah, negeri mahupun Pusat agar setiap program yang dijalankan bertepatan dengan Visi Haluansiswa "Bersahsiah, Dekat dan Bererti"

2. Ahli Haluansiswa juga perlu bersifat produktif atau sentiasa memberi. Sifat ini amat-amat diperlukan di dalam Haluansiswa kerana di dalam realiti hari ini berlaku keperluan mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Haluansiswa dan bukannya Haluansiswa memikul mereka.

3. Ahli Haluansiswa mesti bersifat sentiasa berubah samada berubah dari segi pemantapan pengislahan diri, sanggup berkorban jiwa, wang ringgit dan masa untuk menjayakan kelangsungan pendidikan di dalam Kelab Haluansiswa.


Justeru di dalam kita melangkah ke alam Universiti Ramadhan yang akan dibuka nanti, perlulah kita melalui proses pendidikan di alam Rejab di mana saya menyeru marilah sama-sama kita merenung beberapa peristiwa yang berlaku di sepanjang bulan Rejab ini :

Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua :
Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.



TINGKATKAN AMAL DI BULAN REJAB SEBELUM SAMPAI RAMADHAN.

Saya menyeru kepada semua ahli Haluansiswa untuk kita memulakan pendidikan diri kita bermula dari sekarang agar proses pendidikan yang akan dilalui di bulan Ramadhan Al-Mubarak akan menjadi satu kelazatan dan kenikmatan buat diri kita. Marilah kita sama-sama :

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakkan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;

Maksudnya ;

Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya. "

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;

Maksudnya :

" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."



Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)

Akhir kata, Almarhum Syeikh Fathi Yakan berpesan bahawa peranan pemuda Islam hari ini ialah suatu peranan dan tanggungjawab yang berat, jalannya penuh dengan onak. Tanggungjawab mendirikan Islam dalam realiti kehidupan manusia hari ini memerlukan kepada generasi Al-Quran yang baru mengikut generasi Al-Quran pertama. Pada hari itu barulah orang-orang mukmin akan bergembira dengan pertolongan Allah.

HALUANSISWA

0 comments: